18 badan kebajikan terima cek sumbangan  
 
Sinar Harian :: Jumaat, Ogos 15, 2008

SUBANG JAYA : Sekolah Sri Kuala Lumpur menganjurkan majlis penyerahan cek kepada badan kebajikan buat kali ketiga sempena Bulan Kemerdekaan di sini, semalam.

Sebelum ini, penyerahan cek tersebut telah diadakan pada 1999 dengan kutipan yang diterima sebanyak RM90,000 manakala pada 2004 pula kutipan meningkat sebanyak RM230,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Kuala Lumpur, Hanif Othman Merican berkata, pengumpulan dana untuk tujuan tersebut telah dijalankan seawal Mei lalu dan kutipan yang diperoleh amat menggalakkan.

"Pihak kami dapat mengumpulkan kutipan lebih RM450,000 dan hasil kutipan tersebut diagihkan kepada badan kebajikan yang amat memerlukan. Lebih 30 badan kebajikan yang mendaftar untuk mendapatkan dana tersebut, namun hanya 18 sahaja yang terpilih," katanya.

Pihaknya telah 'turun padang' untuk melihat sendiri keperitan yang dihadapi oleh badan-badan kebajikan tersebut di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan juga Pahang sebelum menyampaikan sumbangan cek.

"Antara badan kebajikan tersebut termasuklah Yayasan Buah Pinggang Negara, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Selangor, Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia, Sungai Way dan juga Komuniti Orang Asli di Pahang," katanaya.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tiga bulan program pengumpulan dana tersebut berlangsung dan antaranya termasuklah makan malam kebajikan yang dianjurkan bersama Kelab Kebajikan Leo di Hotel Sheraton, pesta makanan, persembahan drama muzikal 'Thumbelina' yang dibarisi pelajar sekolah rendah dan sebagainya.

Tambah Hanif, antara lain objektif penyerahan cek tersebut untuk memberikan kesedaran kepada warga sekolah khususnya pelajar mengenai kesusahan hidup orang yang lebih miskin dan kurang upaya.

"Ia juga memberi peluang kepada semua warga sekolah termasuklah ibu bapa dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk kebajikan dan membantu mereka yang lebih memerlukan," katanya.

Sementara itu, bagi salah seorang penerima cek, Umah Kumar dari Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, menyatakan terima kasih dengan sumbangan yang dapat meringankan tanggungannya.

"Sumbangan tersebut akan digunakan untuk pembiayaan perubatan, pendidikan, makanan kepada lebih 150 penghuni pusat penjagaan tersebut yang berumur dari setahun sehingga 45 tahun," katanya.

Majlis penyampaian cek dilakukan Pengerusi Eksekutif Sri Kuala Lumpur, Tan Sri Dato' Ir Othman Merican.

 
     

 

 

  Copyright by OM Education Sdn Bhd 2006. All rights reserved.