Official Opening of New Facilities :: 23-09-2005  
 

 

Kata-kata Aluan daripada Menteri Pelajaran Malaysia,
YB Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussien

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Syabas dan tahniah kepada warga Sekolah Sri Kuala Lumpur kerana menerima dua lagi blok bangunan tambahan untuk kegunaan aktiviti pendidikan. Saya amat berharap agar kemudahan baru ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah ini demi meningkatkan lagi kecemerlangan dalam bidang pendidikan termasuk akademik dan kokurikulum.

Sesungguhnya kemajuan sesebuah negara bukan sahaja didorong oleh masyarakat yang berilmu dan berpendidikan tinggi tetapi merangkumi keseluruhan pembangunan diri setiap individu. Manusia yang berjaya adalah manusia yang berilmu, berakhlak mulia dan berketrampilan hasil kecerdikan akalnya, kesedaran dalaman dan kesejahteraan jasmaninya. Hasrat untuk melahirkan manusia yang mempunyai ciri-ciri berkenaan boleh dicapai sekiranya para pendidik komited, berdedikasi dan bersungguh-sungguh menjalankan tugas selain bersedia melaksanakan perubahan.

Para pelajar pula dituntut melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran dalam usaha mewujudkan generasi bestari dan berdaya saing. Dalam zaman ledakan maklumat ini, pengetahuan, kemahiran dan kepakaran dalam menguasai ilmu amat diperlukan.

Kita semua bertanggungjawab melahirkan generasi yang berilmu, mempunyai akhlak yang mulia dan mampu memberi sumbangan yang positif kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sejajar dengan itu, pengetua, guru-guru dan tokoh-tokoh pendidikan perlu memainkan peranan sewajarnya dalam usaha mencapai kecemerlangan agar transformasi sosial yang kita inginkan menjadi kenyataan.

Akhir kata, saya amat berharap agar warga Sekolah Sri Kuala Lumpur akan terus menanam tekad dan memperkukuhkan azam untuk bersama-sama mencipta kegemilangan dan kecemerlangan dalam bidang pendidikan di negara ini.

Selamat Maju Jaya,
 
YB. Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussien

 
     

 

 

  Copyright by OM Education Sdn Bhd 2006. All rights reserved.